Tajuk ini agak kurang enak untuk dibincangkan, tetapi perlu diperhalusi kerana pernah berlaku salah anggap terhadap kata-kata Ulama.
Sebelum itu, kita perjelaskan makna Ulama secara ringkas terlebih dahulu, makna ulama adalah mereka yang arif, yang mengetahui. Ini bermakna, seseorang yang mempunyai Ilmu yang mendalam terhadap satu-satu bidang,tidak kiralah bidang ekonomi, akan disebut ulama ekonomi, bidang falsafah akan jadi ulama falsafah. Itu adalah makna ringkas dari segi bahasa.
Tetapi mengikut Al-Quran, makna ulama adalah mereka yang melihat kekuasaan Allah di langit dan bumi dan sekitarnya, sehingga mereka merasa takut kepada Allah.
Secara teknikalnya, ulama kita dapat simpulkan
ORANG YANG MEMPUNYAI PENGETAHUAN + TAKUT AKAN KEBESARAN ALLAH= ULAMA.
Dunia pada hari ini melihat ulama sebagai orang yang mempunyai ilmu agama yang cukup tinggi, tanpa dikaitkan rasa takut kepada Allah. Kalaulah mereka yang menggelar diri mereka sebagai ulama,datang dari orang yang pakar Hadis dan Quran, berlambak profesor di Oxford dari orang Yahudi dan Kristian yang juga pakar Hadis dan Quran.
Sifat ulama jika dikaitkan dengan makna di atas adalah orang yang takutkan Allah, maka dengan sebab itu orang tersebut adalah orang yang merendah diri.
Wahyu datang daripada Allah SWT melalui Rasul-Nya. Tugas ulama adalah pewaris yang bertanggungjawab untuk menyampaikan apa yang telah diwahyukan Allah. Jika tiada Nas? ulama dibenarkan berijtihad.
Pendapat ulama dalam berIjtihad mungkin betul, atau mungkin salah. Amru bin al-'As mendengar Nabi Muhammad SAW berdasabda:
"Apabila hakim berhukum lalu dia berijtihad, kemudia benar, baginya dua pahala. Apabila berhukum, lalu berijtihad kemudian salah, baginya satu pahala" -Sahih Bukhari hadis bernombor 7352.
ULAMA
Tidak dinafikan, ada baiknya jika ulama itu berkuasa dan mentadbir negara. Pelaksanaan nilai-nilai Islam dapat dilaksanakan. Tulisan ini lebih memikirkan kepada risiko yang dihadapi. Bahaya yang dilihat bila Ulama mentadbir akan disangka ajaran agama. Orang Awam melihat kata-kata yang diucapkan oleh ulama kebanyakan bersandarkan kepada Nas Al-Quran dan Hadis.
Kita adalah makhluk yang lemah,sama sekali terdedah kepada kesalahan, tidak terkecuali ulama. Oleh yang demikian, ulama tidak boleh mengatakan mereka yang terbaik untuk mentadbir negara, dan bukan ulama tidak sebagus mereka dalam mentadbir. Agama sebagai asas dalam melaksanakan pentadbiran dan juga instrumen pengukuh untuk pentadbiran yang sentiasa berubah dan menghadapi cabaran. Perananya bukan hanya datang dari ulama semata, semua orang perlu berkerjasama dalam melahirkan sebuah negara Islam.
Risiko lain adalah jika ulama GAGAL mentadbir. Adakah ruang ini wujud? pada satu masa dahulu, pernah orang-orang PAS sendiri memainkan isu kafir mengkafir, murtad, bughah, tidak wala' dan sebagainya. Bayangkan kita mempunyai peluang untuk menegur ulama yang mentadbir negara, saya beranggapan akan wujud penyokong yang akan mengatakan pada saya," awak tidak wala' kepada pemimpin dan ini keputusan mereka". Berani saya beranggapan sebegini kerana, memang wujud pihak ektstrem dan pro kepada ulama.
Saya bawakan satu kes Amanat Haji Hadi, 7 April 1981, Kampung Banggol Peradong:
"Saudara-saudara sekelian percayalah, Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.
Maka terjadi salah faham dikalangan ahli mengenai hal ini, kerana membuat tafsiran sendiri dan kurang ilmu. Kesan-kesanya dapat kita lihat tuan-tuan:
Kesan salah faham ini menyebabkan sehingga soal asas,iaitu Ibadah juga terjejas. Jangan main-main dengan kata-kata ulama, Daulat!
Sebenarnya, Haji Hadi hanya bercakap atas angin, dan tidak memaksudkan perkara ini kepada mana-mana pihak. Tetapi sebahagian ahli PAS menjadikan ia lebih berbentuk amanat. Sikap ahli dan tokoh PAS tidak menangani isu kafir-mengkafir ini, menyebabkan ahli yang kurang ilmu bersikap ekstrem. Pernah makcik saya to-tok PAS, mengkafirkan sepupu saya yang berkerja sebagai Polis. Kalau kita telusuri salah satu tujuan PAS, ia berbunyi:
" Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya, melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan" (wikipedia.org/wiki/dasar-dasar PAS)
Dengan keadaan yang terjadi pada masa itu, sudah tentu ia berlawanan dengan apa yang dikatakan Dakwah. Kenapa Haji Hadi berkata sedemikian rupa?
Kita perlu lihat dari segi peranan keadaan/suasana pada masa tersebut tuan-tuan.
Era 70-an dan 80-an, kebangkitan Islam di Asia Tenggara berlaku, umat Islam sedar betapa pentingnya kembali ke jalan Islam dan menghapuskan unsur-unsur penjajahan. Buku-buku tokoh Islam di Timur Tengah menjadi panduan kepada aktivist pada waktu itu. Mereka menulis dalam keadaan tekanan yang berat. Isu Takfir (mengkafirkan) juga timbul di Timur Tengah sehingga murshidul Am al-Ikhwan-Muslimin, menulis sebuah buku, "Du'aah La Qudah" (ulama bukan hakim), bagi menangani isu ini.
Tetapi kita jangan menyembunyikan keadaan pada waktu itu, UMNO pada era tersebut tidaklah seperti UMNO pada hari ini, pendekatan Islam amatlah jauh. Oleh yang demikian, Tun Mahathir sendiri membuat dasar Islamisasi di Malaysia.
Saya cuma merumuskan disini, ulama juga lemah, manusia biasa, kerana mereka juga tidaklah mempunyai capaian untuk masa hadapan, tetapi mereka mempunyai visi dan misi. Sebaiknya pada pendapat saya, biarlah Profesional yang mentadbir negara, tetapi ada majlis Ulama yang dirujuk
(Bunyi macam Iran, SAYA BUKAN SYi'AH)...Majlis Ulama kalau wujud tetapi tidak berkuasa tidak berguna juga.
Sekian.